Kesan kehamilan kepada fibroid

share and show love


Fibroid merupakan ketumbuhan biasa atau ketumbuhan benigna yang mengandungi tisu-tisu otot dan berlaku di dalam rahim. Fibroid biasanya terdapat dalam kalangan wanita pada usia subur. Kadang-kadang fibroid boleh menimbulkan kesan yang tidak dijangka semasa seseorang itu hamil. 

Ada fibroid yang dapat menimbulkan masalah dan ada yang tidak. Kebanyakan fibroid tidak akan membesar ketika hamil. Pembesaran fibroid bergantung pada aras hormon estrogen di dalam badan. Kesan kehamilan terhadap fibroid juga mungkin bergantung pada faktor genetik dan juga aras faktor pertumbuhan yang terdapat di dalam darah yang mungkin boleh mengawal pertumbuhan fibroid tersebut. 

Mengikut laporan kajian yang dijalankan ke atas wanita hamil yang menghidap fibroid, imbasan ultrabunyi menunjukkan lebih kurang 70 peratus wanita hamil tidak mengalami pembesaran fibroid semasa hamil. Seramai 30 peratus wanita pula menghadapi pembesaran fibroid dalam tempoh tiga bulan pertama kehamilan. Hal ini mungkin juga disebabkan oleh pengaruh hormon estrogen yang berada pada aras yang tinggi ketika awal kehamilan. Masalah Walaupun fibroid didapati membesar ketika hamil, kaum wanita tidak perlu gusar kerana fibroid biasanya akan mengalami pengecutan selepas kelahiran anak. 

Pasti ramai wanita hamil akan tertanya-tanya adakah fibroid akan menyebabkan kehamilan mereka menghadapi masalah? Wanita hamil yang menghidap fibroid memerlukan pengawasan berkala. Perkara ini penting untuk memastikan pembesaran janin berlaku dengan baik untuk membantu ibu tidak mengalami keguguran dan kesakitan semasa hamil serta menghindari kelahiran bayi pramatang. Ibu juga berpeluang mempunyai cara terbaik bagi kelahiran bayinya dan tidak mengalami perdarahan yang teruk selepas kelahiran bayi. Apabila wanita hamil dan menghidap fibroid, beberapa masalah mungkin berlaku. 

Antaranya termasuklah kehamilan itu berisiko untuk mengalami keguguran, meningkatnya risiko untuk kelahiran pramatang, pembesaran fibroid, kelahiran yang tidak normal dan mengalami perdarahan yang banyak selepas melahirkan bayi. Bagi wanita hamil, doktor hanya akan memberikan rawatan seperti ubat penahan sakit, jika perlu. Ubat penahan sakit selalunya diberikan dalam bentuk suntikan. 

Pembedahan untuk membuang fibroid tidak akan dilakukan semasa hamil. Jika kelahiran perlu dilakukan melalui pembedahan caesarean, sebarang pembedahan membuang fibroid (miomektomi) tidak dilakukan pada masa yang sama. Hal ini kerana perdarahan yang banyak mungkin akan berlaku ketika pembedahan miomektomi. Perdarahan yang banyak ini mungkin agak sukar dikawal. 

Sumber UTUSAN

No comments:

Post a Comment

comments